jump to navigation

Sedekad berlalu: Keadilan menongkah arus December 5, 2008

Posted by Parti KeADILan Rakyat Bahagian Batu in Antarabangsa, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Hubungan Antarabangsa, Isu Nasional, Kezaliman, Kongress, Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat, Protes, Rakyat.
Tags: , ,
trackback

niknazmiPada September 2007, saya sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia turut serta dalam roadshow AMK di Perak. Saya bersama rakan exco Sdr Lau Teck Hai memandu ke Hutan Melintang di Bagan Datoh, Perak, dan kami disambut S. Kesavan, seorang lagi rakan exco kami.

Kami kemudian berjalan ke kampung nelayan yang majoriti penduduknya dari kaum Tiong Hua untuk mengedar risalah. Saya masih ingat di sebuah kedai, seorang gadis muda Cina yang melihat rombongan kami memakai baju dengan lambang Keadilan bertanya, “Kamu dari parti mana?”

“Kami dari Parti Keadilan Rakyat.”

“Parti baru ke?” tanya beliau.

“Tak, ini Keadilan. Kenal Anwar Ibrahim?”

“Oh, dia bukan masuk balik Umno ke? Lama tak dengar cerita dia.”

Itulah situasi yang kami hadapi apabila bertemu orang ramai. Kadangkala, memang mudah untuk patah semangat waktu itu. Tetapi apabila mengenang pengorbanan begitu ramai rakyat Malaysia dan idealisme yang dibawa Keadilan, kami gagahi juga. “Blackout” berita Anwar menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak mendapat perkembangan terbaru mantan Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Kesavan cukup yakin walaupun ramai di antara kami merasakan cabaran terlalu besar. Dalam mesyuarat Exco AMK, beliau yang juga seorang pakar motivasi menegaskan, “Saya berjanji sekiranya saya kalah di Hutan Melintang, saya tidak akan berkahwin!”

Waktu itu ramai exco termasuk saya ketawa, tetapi hari ini ternyata keberanian Kesavan tidak sia-sia.

Pada Kongres Nasional Keadilan 2008 yang diadakan pada hujung minggu lepas, Kesavan mendapat penghormatan memberikan pidato masyarakat pelbagai kaum. Beliau kini YB, benar-benar menjadi ADUN Hutan Melintang. Saya pula ADUN Seri Setia. Siapa sangka? Keadilan yang pada September 2007 mempunyai seorang Ahli Parlimen di Pulau Pinang dan seorang ADUN di Sarawak kini mempunyai 31 Ahli Parlimen dan 42 ADUN pelbagai kaum. Bukan itu sahaja, Keadilan kini mempunyai seorang Menteri Besar di Selangor dan turut serta di dalam empat buah kerajaan negeri yang lain, termasuk Perak kampung halaman YB Kesavan.

Kongres gilang-gemilang yang diadakan di Stadium Melawati tersebut menyaksikan Keadilan menekankan idealisme pelbagai kaumnya. Jika di dalam Perhimpunan Agung Umno atau pun MCA dan MIC pemimpin setiap kaum ghairah mempertahankan kepentingan kaum masing-masing, Kongres kami memperlihatkan perbezaan. Seorang perwakilan Melayu dari Terengganu menunjukkan bakat berbahasa Mandarinnya. Seorang lagi Exco AMK yang juga ADUN Teja, YB Chang Lih Kang memetik surah Al Quran. Dr Nicholas Bawin, perwakilan dari Sarawak pula memetik kitab Injil.

Pencapaian ini bukan datang bergolek. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mula-mula dipecat pada tahun 1998, gerakan Reformasi lebih merupakan gerakan politik Melayu. Tetapi jaringan NGO-NGO hak asasi manusia turut dilibatkan dalam gerakan tersebut. Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pada April 1999 mengambil bentuk parti pelbagai kaum. Pun begitu, ia kelihatan lebih memperjuangkan pembebesan Anwar.

Peristiwa Reformasi membuka mata saya. Meskipun saya sudahpun mengikuti politik, khususnya politik pembangkang (bapa saya merupakan pengkagum Dr Burhanuddin al-Helmy dan Datuk Asri Muda, dan pernah dilamar bertanding di Kelantan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat pada tahun 1990) tetapi akhirnya saya tertarik dengan gagasan Keadilan. Saya tetap melihat idealisme politik saya lahir dari anjuran Islam untuk memperbaiki masyarakat, tetapi saya percaya ia boleh merangkumi sebuah gagasan pelbagai kaum.

Justeru, saya merasakan idealisme pelbagai kaum Keadilan merupakan kekuatannya walaupun waktu itu masih kelihatan samar-samar. Pada tahun 2001, sarat dengan idealisme mahasiswa yang berusia 19 tahun, saya mula menulis di Malaysiakini tentang perlunya tindakan afirmatif tanpa mengira kaum dan mengulas pandangan Sdr Ezam Mohd Noor waktu itu agar Keadilan menjadi “zentrumspartei” atau parti sosok tengah.

Kekuatan Keadilan dari aspek ini menjadi lebih jelas selepas penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia yang membawa sejarah perjuangan progresif negara dan mewarisi gagasan Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (kedua-dua Burhanuddin dan Asri terlibat di dalam PKMM). Sehari sebelum penggabungan pada 3 Ogos 2003 beberapa tokoh Angkatan Muda parti yang bertanggungjawab membawa saya masuk Keadilan meluahkan rasa mereka bahawa parti ini sudah hilang tujuan dan tidak punya masa depan kepada saya.

“Saya tak setuju,” jawab saya. “Saya yakin idealisme Keadilan ialah idealisme paling cocok dengan masyarakat Malaysia.”

Kami memilih jalan masing-masing. Saya masih terlalu muda untuk memahami sepak terajang politik (mereka berselisih faham dengan Sdr. Ezam, yang kini menjadi perkakas Umno), dan yang menjadi pegangan saya cumalah idealisme semata-mata. Saya masih lagi menuntut di Britain, dan apabila Keadilan tersungkur dengan cuma Permatang Pauh satu-satunya kerusi yang tinggal pada tahun 2004, saya teramatlah kecewa selepas mendapat berita keputusan daripada Internet.

Namun, Keadilan bangkit semula berikutan pembebasan Anwar pada September tahun yang sama. Itupun terlalu banyak teka-teki ditimbulkan: apakah masa depan yang akan Anwar pilih? Adakah Keadilan masih lagi relevan dengan pembebasan Anwar?

Anwar mula melontar idea menolak Dasar Ekonomi Baru pada tahun 2005. Mula-mula ramai yang khuatir, bukan sahaja di kalangan rakan-rakan beliau yang Melayu malah bukan Melayu. Mereka menyatakan walaupun mereka menyokong pandangan Anwar dari segi prinsip, namun mustahil masyarakat Malaysia yang sudah masak dengan politik perkauman BN mampu menerimanya: khususnya ahli-ahli majoriti Keadilan yang berbangsa Melayu.

Tetapi Anwar bertegas dengan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia yang dilontarkannya. Bukankah sebuah dasar yang menekankan pertumbuhan ekonomi serta pengagihan adil untuk golongan terpinggir tanpa mengira kaum selari dengan prinsip keadilan dalam Islam? Ketika ramai pesimis bahawa orang Melayu dapat menerima idea beliau, Anwar menekankan gagasan AEM di dalam ceramah-ceramahnya di kampung-kampung dengan membawa dalil-dalil Al Quran. Waktu itu saya sudahpun menyertai Keadilan Bahagian Kelana Jaya dan kemudian menjadi Setiausaha Sulit Anwar.

Keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 dan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu membuktikan orang Melayu mula dapat menerima idealisme Keadilan. Sememangnya, dasar kepelbagaian kaum yang dibawa Keadilan belum lagi menjadi pandangan dominan di negara kita, tetapi penerimaannya jauh lebih meluas daripada apa yang dibayangkan selama ini. Sebab itu, pimpinan dan ahli Keadilan mesti istiqamah untuk benar-benar tegas dan tidak terperangkap permainan politik perkauman BN. Politik kita mesti didasari prinsip, bukannya kepentingan. Ahli-ahli baru yang mungkin masuk Keadilan selepas kemenangan 8 Mac sememangnya perlu diterima dengan tangan yang terbuka, namun mereka juga perlu ditarbiyyahkan dengan prinsip yang dibawa Keadilan.

Ucapan YB Sivarasa Rasiah pada Kongres Nasional 2008 cukup menarik. Beliau menyatakan panduan parti mestilah berpandukan 17 perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Keadilan. Oleh itu, semua anggota Keadilan seharusnya menerimanya secara keseluruhan, bukan memilih untuk kepentingan kaum masing-masing semata-mata.

Misalnya, perkara 5 menyebut ‘Mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan sambil menjamin hak bukan Islam untuk beragama dan berfikir, dan untuk meperkembangkan peranan agama dan nilai-nilai sejagat demi menegakkan kebenaran, keadilan, tatacara berakhlak, kemanusiaan dan kemuliaan insan’. Oleh itu, YB Sivarasa menegaskan, anggota Keadilan yang bukan Islam juga seharusnya menyokong tanpa kompromi untuk mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan sementara anggota Muslim mesti menyokong hak bukan Islam untuk beragama dan berfikir. Malah, pandangan Keadilan tentang agama bukanlah terhad, tetapi melihat peranan agama dalam menegakkan kebenaran, keadilan, tatacara berakhlak, kemanusiaan dan kemuliaan insan.

Ini istimewanya Keadilan. Inilah mengapa saya memilih Keadilan sebagai wadah perjuangan saya.

Dan, saya hampir terlupa. YB Kesavan masih lagi bujang dan kini “available” memandangkan dia sudah menang. Ada yang berminat?

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di http://www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Comments»

1. Sedekad berlalu: Keadilan menongkah arus | Fairy Tail Manga - December 6, 2008

[…] Pada September 2007, saya sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia turut serta dalam roadshow AMK di Perak. Saya bersama rakan exco Sdr Lau Teck Hai memandu ke Hutan Melintang di Bagan Datoh, Perak, dan kami disambut S. Kesavan, seorang lagi rakan exco kami. Kami kemudian berjalan ke kampung nelayan yang majoriti penduduknya dari kaum Tiong Hua untuk mengedar risalah. Saya masih ingat di sebuah kedai, seorang gadis muda Cina yang melihat rombongan … More here: Sedekad berlalu: Keadilan menongkah arus […]

2. Melayu Boleh - April 20, 2009

orang melayu kena bersatu, baru kita boleh berjaya.melayu boleh.sapa kata tak boleh.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: